Kamar Istimewa

Saturday, 11 May 2013

Peristiwa Julai #Ibrah

Assalamualaikum
Sebelum itu izinkan saya untuk membahasakan diri sebagai 'aku'

#########################################

#2010


Kejadian Julai lalu persis ancaman dan teguran buatku. Aku bernasib baik kerana tercampak di dalam lingkaran sosial yang begitu membina.

Aku seorang gadis yang menduduki Peperiksaan penting pada September 2010. Aku dibesarkan di Johor selama 1 dekad 4 tahun dan kemudiannya berpindah ke sini, negeri Darul Ehsan.

Pada usia 13 tahun, aku sering menjadi sebutan para guru atas dasar penilaian terhadap akademik. Mereka tidak tahu. Dalamanku sebenarnya luluh. Hancur. Asas paksi tidak mampu mengawal aku untuk menangkis kekangan yang kerap menduga.

Akhirnya aku tewas. 
Jarak sejauh 60 km dengan orang tua merupakan kebebasan yang abadi buatku. Ketika itu. 

Rakan-rakan sekelas bersaing untuk bertakhta dalam sanubari jantina berlainan. Lama-kelamaan aku terpengaruh. Dan mempengaruhi. Pada mulanya aku berjaya , berjaya dan terus berjaya. Berjaya mengisi atma jejaka yang sama kelas denganku namun pada tahun berikutnya berbeza kelas, kemudian seorang senior yang berpengaruh di sekolah serta beberapa lagi tetapi yang bukan secara rasmi.

Walaupun pada hakikatnya Aku dan dia, serta dia tidak berkesempatan untuk ber'dating', aku masih terjebak. Hanyut dalam kancah SMS dan laman sosial.

Namun sehinggalah aku ditegur oleh Allah melalui sahabat yang tidaklah begitu rapat tetapi sehingga kini aku masih mengingatinya, aku terhantuk seketika.

Jendela hatiku diketuk.

Tidak cukup sekadar itu, Aku ditegur lagi melalui ujian yang cukup memberi ibrah terhadapku.

Itulah Peristiwa Julai 2010

Diriku masih terasa bahang api yang menjilati tubuhku. Cuma aku bersyukur kerana hanya sebelah tanganku yang 'hangus' pada ketika itu.

Walaupun parut jelas kelihatan, dan cukup sebagai amaran terhadapku, hati ini berasa sangat bersyukur kerana masih ada rasa sayangNya terhadapku

Dia Maha Penyayang

Aku tahu Allah menegurku. Aku tidak mahu ulangi lagi. Derita jiwa tatkala masyarakat memandang aneh ke arah tanganku.

Namun, aku tidak peduli. Aku lebih pedulikan api di neraka kelak.
Jika tidak di dunia, akhirat sudah pasti.


Alhamdulillah, kini sudah pulih.
Semoga Allah merahmati keluargaku, sahabat, guru serta paling tidak dilupakan doktor-doktor yang telah merawatku selama setahun setengah tanpa jemu.


Sahabat, doakan aku dalam melayari bahtera yang sarat dengan tampalan ini.
Doa itu murah. Percuma. Moga Allah sayang kalian. 

Hamba Illahi







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...